Tuesday 6 December 2016

UMNO Perlukan DAP?

Bukan lagi menjadi rahsia apabila DAP kini dijadikan 'musuh' utama UMNO, lagu yang seringkali didendangkan UMNO terutama semasa Perhimpunan Agung parti itu dan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Maka gegak gempita lah Dewan Merdeka, PWTC saban tahun apabila berlangsungnya perhimpunan ahli-ahli parti Melayu terbesar di negara ini dengan makian dan cacian terhadap seteru karib mereka, DAP.

Begitu juga di media arus perdana, kalau boleh "headline" setiap akhbar bercetak kawalan UMNO, haruslah memaparkan isu-isu mengaitkan DAP. Setiap hari, lagi bagus agar dapat menyemai rasa benci orang Melayu (luar bandar) kepada parti didakwa bersifat cauvinis itu.


MCA bagaimana? Adakah MCA tidak membantah Hudud sebagaimana diperjuangkan 'kekasih' baru UMNO, PAS yang juga sebuah parti yang memperjuangkan Islam sejak sekian lama?

Malah, MCA dalam siri Mesyuarat Bahagian parti itu antara lain sebulat suara menolak cadangan PAS mengemukakan usul persendirian berkaitan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 di Parlimen?

Bukankah MCA juga sama sahaja dengan DAP? Jadi kenapa UMNO tidak menentang MCA secara terbuka? Adakah kerana MCA berada dalam Barisan Nasional (BN), dan atas dasar konsep 'perkongsian kuasa', MCA tidak perlu diserang?


Kalau benarlah DAP itu parti yang boleh menyebabkan rakyat khasnya orang Melayu merempat jika mereka berkuasa nanti, kenapa tak minta Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengharamkan terus parti tersebut?

Ironinya, UMNO memerlukan DAP bagi memainkan isu dan sentimen perkauman setiap kali pilihan raya umum. Jika DAP tiada, UMNO 'mati kutu'. Tiada ada modal boleh digunakan untuk meraih undi orang Melayu khususnya mereka yang menetap di luar bandar.

Walhal UMNO tahu hakikatnya DAP tidak mampu membentuk kerajaan secara bersendirian kerana memiliki kerusi yang tidak mencukupi sekaligus memerlukan bantuan parti pembangkang lain untuk membentuk Kerajaan.

Bahkan UMNO juga tahu ahli parlimen Islam dan Melayu jumlahnya lebih besar daripada ahli parlimen DAP serta yang berketurunan Cina di Dewan Rakyat.

Mana mungkin hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda sewenang-wenangnya. 

DAP juga tidak berani menyentuh tentang isu agama dan perkauman kerana mereka tahu akan natijahnya jika berbuat demikian.

Sebenarnya ini bukan soal perang antara kaum dan agama. Ini soal memilih parti yang terbaik untuk masa depan negara, soal menentang kebatilan dan kezaliman terhadap sistem pentadbiran negara yang diurus dengan dahsyat. 

Maruah negara kian tercemar dengan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib. Jadi rakyat harus dibenarkan memilih bukannya ditakut-takutkan oleh segerombolan manusia yang rakus dengan kuasa yang ada di tangan.

No comments:

Post a Comment