Saturday 21 September 2013

Antara Potensi dan Persaingan Ketua Pemuda Umno





                     

PUTRAJAYA, 22 Sept - Menjelang pemilihan Pergerakan Pemuda Umno 12 Okt ini, fokus turut ditumpukan ke arah barisan kepimpinan sayap parti dalam mengharungi pelbagai cabaran termasuk Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin yang akan mempertahankan jawatan bagi penggal kedua berkongsi pandangan beliau mengenai visi dan misi, masa depan serta isu-isu berkaitan Umno dalam menghadapi landskap dan geopolitik negara yang semakin mencabar.

Pada pemilihan sayap 12 Oktober ini, Khairy akan berentap dengan empat individu lain yang menawarkan diri merebut jawatan itu.

Berikut adalah intipati temubual beliau bersama BERNAMA yang diadakan di pejabatnya baru-baru ini:

..............................................................................................................................................

BERNAMA: Selain Yang Berhormat (YB), dikhabarkan ada anggota yang ingin mencabar kepimpinan YB sebagai Ketua Pemuda. Adakah perkara ini suatu yang sudah dijangka? Apakah peluang YB?

KHAIRY: Dalam sistem pemilihan hari ini yang terbuka, kita terima hakikat bahawa kebebasan diberi kepada hampir setiap ahli untuk menawarkan diri terutamanya untuk jawatan tertinggi termasuklah Majlis Tertinggi (MT), ketua-ketua sayap hatta naib presiden pun. Ini adalah satu penegasan bahawa sistem pemilihan dalam Umno ini amat terbuka sekali dan mungkin paling terbuka di kalangan semua parti politik di Malaysia.

Ini satu perkara positif sebab kita nak tunjukkan kepada rakyat bahawa pemimpin Umno walaupun dah sampai ke tahap naib presiden dan ketua sayap, bersedia dan terbuka untuk jawatan kita dipertandingkan.

Peluang... wallahu a'lam tapi saya rasa sebagai penyandang jawatan selama empat tahun sebagai Ketua Pemuda, tiga penggal dalam Exco Pemuda penggal pertama sebagai exco biasa, penggal kedua Naib Ketua dan ketiga sebagai Ketua Pemuda dan ini penggal keempat saya sekiranya saya dipilih sekali lagi.

Pertamanya, saya ada 'track record', ada pengalaman dan sejarah perjuangan dalam Pemuda Umno dan kedua dengan peranan saya sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya dapat bawa gagasan Pemuda Umno itu melalui program-program dan perancangan saya sebagai seorang menteri dan ketiga saya kenal semua ketua-ketua Pemuda bahagian dan ada rangkaian luas di kalangan ahli-ahli Pemuda.

Saya tidak mengganggap cabaran yang diberikan calon-calon lain sebagai cabaran yang remeh. Saya mengambil serius walaupun cabaran tidak datang daripada Exco atau Ketua Pemuda Bahagian. Kita hormati sesiapa yang menawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Jadi saya serah kepada perwakilan untuk memilih. Saya cuma menjawab panggilan perjuangan yang meminta saya teruskan usaha untuk memastikan pertamanya, pengundi muda bersama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Keduanya, aspirasi generasi muda Melayu dan generasi muda Malaysia keseluruhannya dapat diterjemahkan oleh kerajaan. Sebab itu penting hari ini, Ketua Pemuda berada dalam kerajaan supaya dapat berjalan seiring dengan dasar kerajaan.

BERNAMA: Kenapa YB mengharapkan perwakilan memberi mandat untuk memimpin Pergerakan Pemuda sekali lagi dan apakah urusan yang belum diselesaikan YB?

KHAIRY: Saya harap perwakilan akan dapat beri mandat kepada saya sebab memimpin dan mentadbir pergerakan Pemuda ini bukan satu perkara yang mudah. Kita ada keahlian yang mencecah 650,000 orang dan ini memerlukan pemimpin yang ada pengalaman. Bukan saya memperkecilkan latar belakang dan pengalaman calon-calon yang menawarkan diri tetapi calon yang nak pimpin pemuda Umno ini mestilah tahu bagaimana nak menjaga satu organisasi.

Mestilah ada pengalaman sebagai seorang Ketua Pemuda Cawangan dan Ketua Pemuda Bahagian. Dia faham bagaimana nak jaga organisasi dan macamana nak menjadi pemimpin kepada organisasi yang besar.

Saya harap perwakilan akan memikirkan perkara itu walaupun ada banyak benda yang kita nak buat tetapi soal menjaga pentadbiran parti adalah perkara penting. Ketua Pemuda adalah sama dengan jawatan Naib Presiden, terlibat dalam pengurusan parti, biro politik parti, MT parti.

Perkara-perkara yang belum dapat saya selesaikan ialah yang ialah pertamanya, proses pendampingan dengan generasi muda. Ia satu proses berterusan yang telah saya mulakan empat tahun dahulu melalui program yang fokus kepada kepentingan orang muda dalam soal pekerjaan, perumahan, pendidikan, pinjaman dan keusahawanan.

Pemuda hari ini lebih kepada penyelesaian masalah daripada hanya beretorik. Kedua adalah latihan. Oleh kerana empat tahun lepas kita banyak tertumpu kepada usaha mendampingi pengundi muda, kita tak cukup masa untuk membuat modul latihan. Jadi pada masa akan datang, saya nak buat satu modul latihan baharu terutamanya untuk pemimpin-pemimpin Pemuda supaya kita ada proses pengkaderan yang lebih jelas lagi.

Jadi pemimpin muda Umno ini ada satu latihan dan pendedahan yang lebih baik daripada apa yang diberi pada hari ini dan dengan itu kita akan melihat dan mempercepatkan lagi proses peremajaan parti sebab hari ini apabila kita minta pemimpin muda ke depan, ada pemimpin dewasa kata 'you are not ready yet'.

Jadi dengan proses latihan ini, kita nak kata kepada mereka bahawa kita sedang menyediakan barisan pelapis bukan untuk mengambil alih tempat mereka, tetapi untuk bersedia jika suatu hari nanti mereka diberi amanah menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin parti di setiap peringkat.

Soal latihan ini amat penting dan saya rasa kalau kita dapat adunkan antara latihan dan proses pendampingan ini, kita akan dapat melihat satu kuasa Pemuda yang lebih dinamik di masa akan datang.


BERNAMA: YB dikenali sebagai menantu (bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dan pada pemilihan parti 2009, YB dilihat memenangi jawatan Ketua Pemuda kerana faktor Pak Lah. Adakah pada kali ini YB boleh berdiri di atas kaki sendiri?

KHAIRY: Pada pemilihan parti yang lepas, walaupun Pak Lah masih lagi presiden, tetapi dia presiden yang akan melepaskan jawatan dalam perhimpunan agung parti pada 2009. Jadi pada saya, tidak ada apa-apa kelebihan pada waktu itu menjadi menantu Pak Lah sebenarnya.

Saya bertanding pada 2009 menentang Dr Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dalam keadaan yang amat sukar sekali keadaan yang boleh saya katakan 'hostile'. Tapi dalam keadaan begitu saya diberi amanah oleh perwakilan untuk menjadi Ketua Pemuda.

Saya telah diuji dalam keadaan yang amat sukar sekali dan dalam keadaan semacam itu, Alhamdulillah, perwakilan memberi amanah kepada saya. Kalau pada 2009, saya hadapi keadaan yang hostile dan sukar untuk saya, kali ini tidak ada apa-apa lagi persepsi tentang perkara itu.

BERNAMA: Sekiranya berjaya pada pemilihan kali ini, apakah visi dan misi YB untuk tempoh tiga tahun akan datang dan seterusnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?

KHAIRY: Soal latihan dan pendampingan golongan muda adalah perancangan jelas saya untuk tempoh tiga atau empat tahun akan datang dan matlamatnya adalah kemenangan BN pada PRU-14.

Ramai yang kata bahawa PRU-13, kita tak dapat sokongan orang muda, tetapi bila kita tengok survey Merdeka Centre mendapati bahawa kalangan pengundi Melayu yang berumur antara 21 hingga 30 tahun, 54 peratus memberi sokongan kepada BN.


Kajian saya sendiri menunjukkan bahawa kita ketinggalan disebabkan pengundi-pengundi di kawasan bandar terutamanya di kalangan pengundi Cina. Di kalangan pengundi Melayu terutamanya mereka yang di bawah 30 tahun, kita masih lagi kompetitif, boleh bersaing dengan parti pembangkang.

Ini satu petanda baik bagi Umno, maksudnya apa yang kita buat, walaupun tidak dapat sokongan secara majoriti yang besar tetapi telah membuahkan hasil. Kita sekurang-kurangnya dapat bersaing dengan pembangkang di kalangan pengundi berumur 21 tahun hingga 30 tahun.

Cabaran akan datang ialah untuk memastikan bahawa mereka yang berumur 30 hingga 40 tahun ini dapat kita yakinkan dan pengundi muda akan mendaftar. Mereka yang hari ini berumur 17 atau 18 tahun dan mereka yang baru habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru nak masuk universiti, yang ini kita kena yakinkan dengan pendekatan menfokuskan kepada isu.

Satu perkara yang dapat saya bawa kepada perjuangan adalah untuk meyakinkan mereka yang di atas pagar. Saya percaya dengan pendekatan yang kita buat untuk meyakinkan mereka ialah tidak menghukum dan tidak melabelkan mereka ini yang kritikal kepada kerajaan bahawa mereka ini penyokong pembangkang.

Saya rasa ada ramai di atas pagar yang mungkin kritikal kepada kerajaan, mereka tidak suka dilabel. Kalau kita labelkan mereka bermakna kita akan pastikan mereka tidak akan menyokong kita.

Kita kena berdamping dengan mereka dan kena menjawab persoalan mereka... beri pencerahan kepada mereka tentang isu-isu semasa sama ada soal subsidi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan soal-soal janji pembangkang. Ini penting kepada kita.

Cara saya bukanlah cara memekik, menjerit soal retorik sahaja tetapi saya lebih kepada penyelesaian masalah orang muda dan saya suka enggagement secara intelektual.

Ada orang kata kita tak lantang seperti dahulu tapi bagi saya zaman sudah berubah. Hari ini jauh beza daripada zaman 60an atau 70an yang mana kita buat demonstrasi dan bermacam-macam. Hari ini walaupun ada peranan untuk kita berdemonstrasi tetapi persaingan minda adalah lebih penting daripada retorik politik.

BERNAMA: Jika menang pada pemilihan kali ini, adakah ia benar-benar penggal terakhir YB sebagai Ketua Pemuda?

KHAIRY: Saya secara sukarela selepas penggal ini dan saya mencapai umur 41 tahun, walaupun masih boleh lagi bertanding Ketua Pemuda, amat penting bagi kita menunjuk teladan yang baik.

Sudah sampai dua penggal dah masuk usia 41 tahun, saya rasa adalah paling baik untuk meninggalkan zaman Pemuda dan serahkannya kepada pemimpin lain.

Sekiranya kita tak letak satu tempoh bagi kita meninggalkan Pemuda, kita tak buat satu perkara yang paling penting dalam menjadi seorang pemimpin iaitu menyediakan pelapis.

Saya rasa ramai pemimpin yang berjaya sebab menyediakan pemimpin pelapis atau pengganti yang dapat membawa institusi itu kepada kejayaan lebih tinggi lagi. Jadi dalam masa ini, saya sebutkan soal latihan tadi sebab saya nak menyediakan bakal pemimpin untuk Pemuda.

Jadi tugas saya kalau saya nak berjaya, saya kena sediakan enam atau tujuh pemimpin yang boleh menggantikan saya sebagai Ketua Pemuda Umno Malaysia.

BERNAMA: Pemuda mencalonkan empat anggotanya bertanding di peringkat MT pada pemilihan kali ini. Adakah dengan mengisi beberapa muka baharu atau orang muda di peringkat tertinggi parti mencukupi untuk menggambarkan bahawa inilah yang dimaksudkan dengan peremajaan parti?

KHAIRY: Itu sebahagian proses peremajaan parti dan saya harap bahawa mereka akan dapat sokongan daripada perwakilan bahagian sebab dulu kita cuma hantar satu dan paling banyak dua, tapi kali ini kita cuba empat.

Saya harap keempat-empat mereka akan berjaya sebagai tanda parti ini menerima proses peremajaan dan penerimaan proses peremajaan hanya akan berlaku sekiranya diterjemahkan dalam bentuk memilih pemimpin muda sebagai ahli MT. Bukan hanya orang muda di Pemuda sahaja tetapi kita nak mengarusperdanakan pemimpin muda dalam parti.

Soal meremajakan parti bukan semata-mata boleh dilihat atau dilaksanakan dengan adanya pemimpin muda di peringkat tertinggi. Sudah pasti dasar dan 'outlook' parti itu sendiri mestilah mesra remaja.

Tak guna kalau kita ada pemimpin muda duduk dalam MT tetapi dasar kita masih lagi tidak diterima oleh orang muda. Orang muda akan melihat Umno secara keseluruhannya dan ia tidak akan hanya melihat kepada Pemuda. Walau pun dia suka kepada Pemuda dan suka kepada program Pemuda, tetapi kalau parti secara keseluruhan dilihat sebagai parti yang 'out of touch' dengan orang muda, dia tidak akan sokong Umno.

Umno memerlukan dasar dan pendekatan yang mesra kepada generasi muda tetapi bagi saya, untuk kita melihat dasar dan pendekatan mesra golongan muda, kita memerlukan orang muda dalam MT untuk memberi idea supaya parti kita ke arah tersebut.

Kalau tidak ada langsung suara orang muda, selain Ketua Pemuda dalam MT, bahawa inilah pandangan orang muda atau inilah reaksi orang muda sekiranya kita buat sesuatu, saya rasa suara Ketua Pemuda itu boleh tenggelam. Tetapi kalau ada tiga atau empat orang lain yang wakili generasi muda, suara kita lebih didengari.

BERNAMA: Tentang artikel yang berjudul "Umno Dahulu dan Sekarang" oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa Umno kini hanya berjuang untuk diri sendiri dan tidak lagi untuk bangsa, agama dan tanah air menyebabkan orang Melayu tidak lagi menyokong Umno. Adakah perkara ini benar atau hanya persepsi dan apakah tindakan Umno untuk meningkatkan penguasaan Melayu dalam Ekonomi untuk bersaing dengan bangsa lain?

KHAIRY: Saya rasa pandangan ini tidak berapa adil kepada Umno. Umno masih lagi berjuang untuk orang Melayu dan Umno masih lagi ikhlas memperjuangkan nasib dan memperkasakan orang Melayu.

Baru-baru ini pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai agenda memperkasakan ekonomi bumiputera. Itu adalah agenda Umno untuk memperkasakan bumiputera secara keseluruhannya oleh kerajaan yang ditunjangi Umno.

Kalau sekiranya ada seorang dua pemimpin yang berjuang disebabkan diri sendiri, jangan kerana nila setitik kita hukum semua. Kita harus lihat parti secara keseluruhan dan harus melihat kepada keikhlasan kita.

Keikhlasan ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan orang Melayu dalam pilihan raya umum lepas. Kalau betul Umno dah 'out of touch' dengan perjuangannya untuk rakyat biasa terutamanya orang Melayu, sudah pasti bilangan kerusi Parlimen Umno tidak meningkat pada pilihan raya umum lepas dan sudah pasti orang Melayu juga akan menyokong pembangkang.

Hakikatnya orang Melayu telah memberi sokongan padu kepada Umno. Tugas Umno adalah untuk memastikan bahawa perancangan itu dilaksanakan sepenuhnya. Masalah kita dalam soal agenda Melayu ini adalah perancangan itu memang terbaik sekali, tetapi pelaksanaannya yang menghampakan harapan orang Melayu.

Jadi tugas Umno untuk menjadi pemantau supaya pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera itu betul-betul berlaku. Maksudnya kita bantu mereka yang layak dibantu dan bukannya bantu mereka yang dah tak layak dibantu atau mereka yang boleh dikatakan sebagai kroni dan sebagainya sebabnya kita nak tunjuk kepada masyarakat umum bahawa kita memperkasakan bumiputera bukannya kita memperkasakan orang yang rapat dengan kita.

BERNAMA: Bagi memastikan negara tidak kehilangan bakat atau pakar daripada golongan belia yang berhijrah ke luar negara, apakah perancangan YB untuk mengatasi perkara ini?

KHAIRY: In Shaa Allah, jika saya dipilih sebagai Ketua Pemuda, tahun depan saya akan buat jelajah seluruh dunia jumpa dengan masyarakat kita dan orang muda yang menetap di luar negara supaya mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara.

Tahun ini sibuk dengan pilihan raya dan pemilihan Umno. Saya rasa, In Shaa Allah tahun depan adalah masa sedikit untuk saya ke luar negara.

No comments:

Post a Comment